Friday 23 January 2015

Yemen, Huthi setuju berdamai


Pemberontak setuju undur dari bangunan kerajaan dan Istana Presiden
23 Januari 2015 3:01 AM



SEORANG anggota pemberontak Huthi menaiki sebuah kenderaan tentera lengkap dengan senjata yang dirampas daripada pasukan pengawal Presiden berkawal di luar Istana Presiden Yemen di Sanaa pada 21 Januari lalu. – REUTERS

SANAA 22 Jan. - Presiden Yemen, Abdrabuh Mansur Hadi dan kumpulan pemberontak Syiah Huthi dilapor mencapai perjanjian damai bagi menamatkan konflik berdarah di negara ini yang berlanjutan sejak September lalu.
Menurut agensi berita tempatan, Saba, mengikut perjanjian sembilan perkara itu, pemberontak Huthi bersetuju untuk berundur dari bangunan kerajaan termasuk Istana Presiden yang ditawan pada minggu ini sebagai pertukaran atas persetujuan kerajaan untuk meminda Perlembagaan.
Selain itu, kumpulan Syiah tersebut bersetuju membebaskan ketua turus Presiden, Ahmed Awad bin Mubarak yang diculik pada Sabtu lalu sebagai tekanan kepada Abdrabuh memenuhi tuntutan mereka untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Saba melaporkan, kerajaan pimpinan Abdrabuh juga kemungkinan memenuhi tuntutan Huthi untuk meminda Perlembagaan yang diluluskan untuk membahagikan Yemen kepada enam wilayah persekutuan.
“Usul Perlembagaan baharu perlu dipersetujui semua pihak seperti yang dicapai dalam perjanjian tersebut dan Yemen juga akan menjadi sebuah negara persekutuan berdasarkan keputusan yang diperoleh melalui dialog kebangsaan.
“Puak Syiah Huthi dan Pergerakan Selatan selain semua parti politik lain yang dinafikan hak sama rata untuk mewakili kerajaan, akan memperoleh kelebihan yang sama,” jelas laporan itu.
Persetujuan antara Abdrabuh dan pemberontak Huthi dicapai hanya sehari selepas kumpulan militan itu menawan Istana Presiden dan menyerang kediaman beliau, dipercayai bertujuan merampas kuasa.
Sepanjang keganasan dua hari yang bermula sejak kelmarin, sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan 94 orang lagi cedera dalam pertempuran antara pemberontak Huthi dan tentera Yemen di sekitar ibu negara.
Kemelut politik Yemen tercetus sejak September lalu apabila pemberontak Huthi menguasai sebahagian besar bandar Sanaa termasuk semua bangunan kerajaan dan stesen radio sebagai menentang idea penubuhan kerajaan perpaduan dan pemberian kuasa imuniti kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh yang digulingkan oleh rakyat pada 2011. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/yemen-huthi-setuju-berdamai-1.51217#sthash.S9PFRawm.dpuf

No comments:

Post a Comment