Friday 27 January 2017

Bila semua letak senjata, baru Yaman boleh aman


ZIN MAHMUD  |  06 November 2016 5:15 PM

PENGLIBATAN pemberontak Houthi dalam melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi menambah lag

PENGLIBATAN pemberontak Houthi dalam melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi menambah lagi polemik dunia Islam.
Dua tahun lalu, seorang bapa di Kedah menghantar anaknya belajar ke Yaman. Pelajar itu pergi bersama sekumpulan anak-anak Malaysia lainnya untuk menuntut ilmu agama di sana. Beberapa bulan kemudian, mereka pulang kerana suasana sudah tidak selamat ekoran kejadian letupan bom. Kini Yaman sedang dilanda perang yang dahsyat.

Walaupun Mesir merupakan destinasi utama pelajar Malaysia menuntut ilmu agama, tetapi Yaman seperti Jordan adalah juga tempat tumpuan pelajar. Pada masa aman dahulu, ada juga pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di Damsyik, Syria.

Malah pada tahun 1970-an, pelajar Malaysia juga belajar di Baghdad, Iraq. Tetapi apabila perang melanda Iraq, Syria dan Yaman, maka peluang belajar di sana juga hilang ditelan asap.

Dokumentari mengenai institusi pendidikan agama di Yaman yang unik kerana ia bersifat terbuka dan bebas pernah dipaparkan dalam YouTube sebelum perang dahulu menunjukkan sistemnya berbeza daripada apa yang ada di Kaherah, Amman, Damsyik dan Madinah.

Selain itu Yaman juga memiliki khazanah warisan yang banyak dan pelbagai. Hinggakan National Geographic menunjukkan tapak tapak arkeologi yang masih bermisteri untuk diteroka oleh para penyelidik. Ada satu berita menyatakan penemuan mushaf-mushaf Quran purba di gua-gua pergunungan Yaman.

Namun begitu, kedudukan geografi menjadikannya strategik bagi sesiapa yang mahu menguasai dunia. British pernah menjajah Yaman Selatan, pelabuhannya Aden merupakan pangkalan penting bagi empayar itu.

Setelah merdeka, Yaman Selatan menjadi negara Marxis dan Aden digunakan oleh Soviet Union sebagai pangkalan. Apabila komunisme tumbang, Yaman Utara dan Yaman Selatan bersatu tanpa pertumpahan darah. Amerika Syarikat (AS) pula menjadikan Aden pelabuhan strategiknya. Serangan pertama Al-Qaeda pula berlaku di Aden.

Seperkara lagi yang meletakkan Yaman sebagai negara strategik ialah kedudukan yang jaraknya dengan Mekah dan Jeddah tidak jauh. Apabila Arab Spring tercetus, ia juga sampai ke Yaman dengan orang ramai menjatuhkan Presiden Ali Abdullah Saleh pada tahun 2012 setelah memerintah selama 33 tahun. Beliau berundur dan jawatan presiden disandang oleh naib presidennya, Abdul Rabbuh Mansur Hadi yang menang pilihan raya tanpa bertanding.

Tetapi beliau terpaksa berdepan dengan pemberontakan Gerakan Houthi di utara dan kumpulan al-Qaeda di selatan. Pemberontakan Houthi di utara merebak masuk ke dalam wilayah Arab Saudi. Maka Arab Saudi bertindak campur tangan. Keadaan bertambah buruk dengan golongan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan kerajaan Yaman berpindah ke Aden. Turut menyokong Houthi ialah golongan yang setia pada Ali Abdullah Saleh.

Tiga penjuru

Kini perang di Yaman, seperti juga di Syria bersifat tiga penjuru. Di sebelah utara adalah golongan Houthi. Di sebelah selatan ialah kerajaan Yaman. Sementara di sebelah tengah dikuasai golongan al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan sealirannya seperti Daesh atau Islamic State. AS campur tangan dengan keutamaannya untuk menumpaskan Daesh dan al-Qaeda. Untuk itu ia juga menggugurkan bom di pelbagai sasaran, termasuk dalam kalangan penduduk awam.

Minggu lalu Arab Saudi menyatakan pihaknya telah mematahkan serangan peluru berpandu daripada pihak Houthi yang menyasarkan Mekah. Bagaimanapun Houthi menafikan dakwaan itu dan menyatakan peluru berpandunya menyasarkan lapangan terbang Jeddah. Lapangan terbang itu bagaimanapun adalah tempat orang awam serta menjadi pangkalan bagi para jemaah umrah mendarat.

Arab Saudi mengetuai Pakatan Arab atau Arab Coalition yang terdiri daripada Kuwait, Maghribi, Emiriah, Senegal, Sudan, Bahrain, Mesir, Jordan dan Qatar. Ia bertujuan membantu kerajaan Republik Yaman pimpinan Abdul Rabbuh Mansur Hadi.

Selain daripada Pakatan Arab itu, negara lain yang menyokong kerajaan beliau ialah Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Perancis, Djibouti, Turki dan Somalia. Mereka sedang berperang menentang golongan Houthi yang menubuhkan kerajaan pemberontak melalui Majlis Politik Tertinggi pimpinan Saleh Ali Al-Sammad.

Golongan ini mendapat sokongan daripada Iran, Rusia, Syria, Iraq dan Korea Utara. Nama Gerakan Ansarullah Houthi ini mengambil sempena daripada Syeikh Hussein Badreddin Al-Houthi yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Yaman pada tahun 2004. Beliau pernah menjadi anggota Parlimen Yaman dari Parti Islam Al-Haq. Houthi adalah seorang pemimpin mazhab Syiah Zaidiah.

Dianggarkan 99 peratus penduduk Yaman yang berjumlah 25 juta beragama Islam. Sebanyak 60 peratus orang Islam bermazhabkan Sunni. Majoriti daripadanya mengikut Syafie dengan bilangan besar adalah Maliki dan Hambali. Sebanyak 40 peratus orang Islam pula bermazhabkan Syiah. Majoriti Syiah itu adalah Zaidiah, sementara ada juga pengikut Imam Dua Belas dan Ismailiah. Mazhab Imam Dua Belas sama dengan Syiah di Iran.

Golongan Houthi pernah memberontak ketika Yaman berada di bawah Presiden Ali Abdullah Saleh, yang juga dari kalangan mazhab Syiah Zaidiah. Mereka juga menyertai kebangkitan Arab Spring yang membawa kepada kejatuhan presiden itu. Namun apabila presiden itu berundur dan pilihan raya diadakan dengan membawa kemenangan kepada Presiden Abdul Rabbouh, seorang Sunni, para penyokong Ali Abdullah Saleh memihak pula pada golongan Houthi yang membawa mereka menawan ibu negara Sanaa.

Peperangan yang banyak mengorbankan orang awam ini termasuk dari suku kaum bermazhabkan Syiah mendorong kemasukan Iran. Malah sekutu Iran di Lebanon iaitu Hezbollah turut masuk membantu. Keadaan di Yaman ini menyebabkan bukan saja hubungan antara Arab Saudi dan Iran tegang tetapi juga antara masyarakat Sunni dan Syiah di peringkat dunia. Ia juga membawa kepada boikot haji oleh pihak Iran atas alasan bimbang terhadap keselamatan jemaah haji mereka.

Akibat daripada kesengsaraan penduduk awam, pada Ogos lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memulakan rundingan damai di Kuwait antara kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi. Tetapi pihak Houthi meletakkan syarat supaya Abdul Rabbouh berundur. Tetapi baru- baru ini apabila draf plan damai itu menetapkan beliau supaya berundur, penyokong penyokong kerajaan Yaman di Aden pula menunjuk perasaan membantah.

Buat masa ini pengeboman termasuk dari AS terus berlaku dan agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa cuba menyelamatkan nyawa orang awam. Perang semakin sengit dengan tidak menghiraukan lagi nyawa orang awam. Seperti di Syria, mereka seolah olah berkejar-kejar untuk mendapatkan lebih banyak kawasan sebelum gencatan senjata berlaku untuk rundingan damai.

Cara hendak menghentikan perang hanyalah meletak senjata dan pihak asing berundur. Persepakatan antara kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi diperlukan sebelum boleh mematahkan penguasaan Daesh dan al-Qaeda yang semakin kuat bertapak di negara itu.

Saturday 21 January 2017

Lebih 20 mati tertimbus di Iran


Bangunan beli-belah tertua di Teheran runtuh

21 Januari 2017 12:11 AM



TEHERAN 20 Jan. - Sekurang-kurangnya 20 anggota bomba dipercayai mati tertimbus selepas sebuah bangunan setinggi 17 mengandungi pusat beli-belah dan gudang pakaian runtuh di Iran, semalam.

Datuk Bandar Teheran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, mereka yang terpe­rangkap itu merupakan sebahagian daripada 200 anggota bomba yang ditugaskan untuk memadam kebakaran di bangun­an tersebut.

Difahamkan, setakat ini seramai 88 ce­dera termasuk anggota bomba dalam kejadian itu.


Seorang jurucakap bomba pula memberitahu, tiada mayat yang dikeluarkan daripada runtuhan tersebut dan pasukan penyelamat kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya runtuhan susulan yang mungkin memburukkan lagi keadaan.

Bangunan yang dikenali sebagai Plasco dibina sejak 54 tahun lalu dan dianggap tempat beli-belah tertua di Teheran, menjadikannya ba­ngunan yang berisiko tinggi.

Kebakaran yang disusuli letupan dilaporkan bermula di tingkat 10 bangunan tersebut sekali gus melemahkan struktur bangunan berkenaan sehingga menyebabkannya runtuhan berlaku.

Berikutan insiden kebakaran dan runtuhan itu juga, kedutaan Jerman dan Turki yang terletak bersebelahan bangunan tersebut terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan.

Difahamkan, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika ini dengan bantuan tentera serta unit anjing pengesan.

Sebuah terowong juga terpaksa digali di kawasan letak kereta bagi membolehkan pasukan penyelamat sampai ke tingkat bawah tanah untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di situ.

Dalam pada itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, rakyat Iran bersedih dengan tragedi itu dan berterima kasih terhadap pengorbanan anggota bomba selama ini.

Pada masa yang sama, beliau mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan bertujuan mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan. – DPA/AFP

Thursday 19 January 2017

75 termasuk bomba cedera runtuhan bangunan di Iran


19 Januari 2017 11:20 PM
SEORANG anggota bomba berjalan di atas sisa runtuhan bangunan

SEORANG anggota bomba berjalan di atas sisa runtuhan bangunan yang musnah dalam kebakaran di Teheran, Iran hari ini. -AFP
TEHERAN 19 Jan. - Sekurang-kurangnya 75 orang termasuk 45 anggota bomba cedera apabila sebuah bangunan yang hampir musnah dalam kebakaran runtuh di Iran, lapor stesen televisyen tempatan hari ini.

Ekoran kejadian itu, pasukan penyelamat yang dibantu sepasukan anggota tentera dan unit anjing pengesan dikerah ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa termasuk anggota bomba yang masih terperangkap dalam runtuhan berkenaan.

Agensi berita Tasnim yang memetik kenyataan pejabat Gabenor Teheran melaporkan, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Ketika ini, belum ada kematian dilaporkan manakala mangsa yang cedera pula telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. -REUTERS

Friday 6 January 2017

Gempa bumi 5.3 skala Richter gegar selatan Iran


Peta wilayah Khonj
 Peta wilayah Khonj
06 Januari 2017 11:47 PM

TEHRAN 6 Jan. - Gempa bumi berukuran 5.3 skala Richter menggegarkan wilayah Fars pada pukul 2.33 pagi waktu tempatan hari ini.

Bencana itu turut mengorbankan empat orang rakyat Afghanistan.

Menurut Ketua Eksekutif Daerah Khonj, Mokhtar Abbasi kepada stesen televisyen negeri, kesemua mangsa terkorban di kampung Seif Abad.

Pada 2003, satu gempa bumi turut berlaku dan mengorbankan sekurang-kurangnya 31,000 orang dan memusnahkan bandar bersejarah Bam. - AFP

Tuesday 3 January 2017

Lagi letupan di Baghdad, 35 maut


3 JANUARI 2017
Lagi letupan di Baghdad, 35 maut


Lagi letupan di Baghdad, 35 maut Militan Daesh mengaku melakukan serangan - Foto AFP
IRAN - BAGHDAD. Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dalam letupan bom kereta di dataran yang sibuk di ibu negara Iraq, Baghdad, kata sumber keselamatan dan perubatan.

BBC melaporkan, 61 yang lain cedera dalam letupan berkenaan di daerah timur Sadr City yang dikuasai Syiah.

Satu lagi bom kereta kemudian meletup di tempat letak kereta di Hospital Al-Kindi menyebabkan tiga orang terbunuh.

Militan Daesh mengaku melakukan kedua-dua serangan yang mensasarkan perhimpunan pertama Syiah.

Pada Sabtu, Daesh mengaku melakukan dua serangan berani mati di sebuah pasar di Baghdad yang menyebabkan 28 orang mati.

[ARTIKEL BERKAITAN: 21 maut,45 cedera letupan di pasar]

Serangan Isnin mensasarkan dataran di Sadr City di mana pekerja menunggu untuk ke bekerja.

Assad Hashim, pemilik kedai telefon bimbit yang mengalami luka serpihan di tangan kanannya memberitahu AP, pengebom berani mati itu berpura-pura mahu mengupah pekerja.

Pekerja bersesak di kenderaan tersebut cuba untuk mendapatkan pekerjaan tersebut.

"Satu letupan besar berlaku dan menyebabkan mereka terpelanting ke udara," kata Hashim.

Sementara itu, menurut agensi berita Reuters, sembilan daripada mangsa adalah wanita yang berada di dalam bas mini yang melalui dataran berkenaan ketika letupan.

Saturday 31 December 2016

21 maut, 45 cedera letupan di pasar


31 DISEMBER 2016
21 maut, 45 cedera letupan di pasar


21 maut, 45 cedera letupan di pasar
BAGHDAD - IRAQ. Sekurang-kurangnya 21 terbunuh manakala 45 cedera selepas dua bom meletup di sebuah pasar sesak di tengah Baghdad, kata pegawai Iraq.

Serangan berlaku pada awal pagi Sabtu di Al Sinaq sebuah pasar sibuk yang menjual aksesori kereta, makanan, pakaian, dan benih pertanian dan jentera.

Polis berkata, sepasang bom silih berganti meletup di tepi jalan, namun pegawai kemudian berkata, bom pertama meletup di tepi jalan dikikuti dengan letupan kedua dari pengebom berani mati yang meletupkan diri di tengah-tengah orang ramai

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dengan insiden letupan paling dahsyat melanda pasar itu sejak Oktober lalu.

Mangsa yang dianggarkan oleh pihak polis dan pegawai perubatan adalah di antara 19 hingga 23 orang.

Friday 30 December 2016

Arab Saudi, Iran bincang persiapan haji tahun depan


30 Disember 2016 10:05 PM
GAMBAR HIASAN ARKIB UTUSAN
 GAMBAR HIASAN ARKIB UTUSAN

RIYADH 30 Dis. - Arab Saudi telah menjemput Iran dalam perbincangan tentang penghantaran jemaah haji negara itu untuk tahun depan selepas Arab Saudi tidak menyenaraikan Iran dalam kumpulan jemaah haji tahun ini berikutan pertikaian diplomatik.

Akhbar Al-Hayat melaporkan Menteri Haji, Mohammed Bentin telah mengadakan pertemuan dengan lebih 80 negara termasuk Iran bagi memperincikan tentang persediaan haji tahun depan.

``Delegasi haji Iran telah dijemput oleh Arab Saudi untuk persiapan haji tahun depan,’’ lapor akhbar itu.


Akhbar Arab News pula melaporkan, Riyadh mengalu-alukan jemaah haji dan umrah tanpa mengira negara atau mazhab termasuk jemaah haji Iran.

Lebih 1.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah berkenaan tahun ini namun Iran terkecuali berikutan ketegangan antara Riyadh dan Tehran akibat tragedi rempuhan pada musim haji 2015.

Kira-kira 2,300 jemaah haji terkorban dalam tragedi yang disifatkan paling buruk berlaku semasa musim haji.

Riyadh memutuskan hubungan dengan Tehran pada Januari lalu selepas penunjuk perasaan Iran membakar pejabat kedutaan dan konsulat Arab Saudi berikutan keputusan Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati terhadap ulama Syiah. - AFP