Menurut pegawai semalam, pembunuhan terbaharu sejak 10 hari lalu melibatkan puak minoriti Iraq, Albu Nimr di wilayah Anbar, yang turut membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Pembunuhan beramai-ramai itu dilaporkan berlaku ketika beribu-ribu penduduk Syiah bersiap sedia untuk melakukan perjalanan ke Karbala minggu ini bagi menyertai acara memperingati peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
Menurut maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber, angka kematian sebenar tidak dapat dipastikan, namun ia melebihi 200 orang.
Kolonel polis Shaaban al-Obaidi memberitahu AFP, lebih 200 orang terbunuh, manakala Timbalan Ke­tua Majlis Wilayah Anbar, Faleh al-Essawi, meletakkan jumlah korban kepada 258 orang.
Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan IS menjadikan pengikut Syiah sebagai sasaran sempena perarakan Asyura.
Semalam sahaja, sebanyak 19 pengikut Syiah dilaporkan dibunuh di Anbar. – AFP